TEMBURONG, Isnin 9 Mei – Sebanyak 72 botol dan 312 tin minuman keras pelbagai
jenama telah berjaya dirampas oleh pihak polis pada 8 Mei 2022.
Di samping meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, strategi rondaan dan
pemantauan pencegahan jenayah yang dikendalikan oleh Balai Polis Bangar,
Pasukan Polis Diraja Brunei masih lagi dikekalkan dengan menumpukan kepada
kawasan-kawasan panas yang dipercayai sering berlaku kegiatan-kegiatan jenayah
seperti jenayah penyeludupan.
Semasa insiden penemuan yang berlaku di kawasan Kampong Bokok, pegawai
penyiasat dan peronda yang menjalankan rondaan telah menemukan beberapa kotak
plastik yang mencurigakan ditinggalkan di kawasan persimpangan jalan. Sejurus
menjalankan pemeriksaan, kotak-kotak tersebut dipercayai mengandungi barangan
tegahan iaitu minuman-minuman keras.
Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal dan
seterusnya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan
lanjut.
PPDB serta agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa komited dalam arena tugasan
pengesanan dan pembanterasan penyeludupan barang-barang tegahan di kawasan
sempadan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI