MUARA, Isnin 24 Jan - Aksi kejar mengejar telah berlaku semalam melibatkan
seorang penunggang motosikal (suspek) dan juga keanggotaan peronda daripada
Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB) pada 23 Januari 2022 sekitar jam 11.11 malam.
Menurut siasatan awal, semasa rondaan dijalankan di kawasan Jambatan RIPAS lalu
terserempak dengan sebuah motosikal yang keluar dari jalan Kampong Kasat dalam
keadaan yang mencurigakan, peronda bertugas segera mengambil tindakan
mengejar untuk membuat pemeriksaan tetapi gagal disebabkan suspek enggan
bekerjasama untuk berhenti malah cuba untuk melarikan diri.
Insiden kemalangan kemudian berlaku di kawasan persimpangan Kg Mentiri di mana
dipercayai suspek telah hilang kawalan mengakibatkan motosikal yang ditunggangi
terjatuh seraya melanggar peronda bertugas beserta sebuah kenderaan yang sedang
berada di hala yang sama.
Sejurus kemalangan berlaku, Keanggotaan Balai Polis Muara, PPDB segera ke
tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. Suspek dan peronda bertugas dibawa ke
Hospital RIPAS bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.
Suspek adalah seorang lelaki warganegara tempatan berumur 24 tahun dan tidak
mempunyai lesen memandu yang sah. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak
polis.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin mengingatkan dan menegaskan kepada
semua pengguna jalanraya untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang telah
diperuntukan di negara ini.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) tidak akan berkompromi dan sentiasa tegas
dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan bagi
memastikan penduduk dan rakyat negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan
selamat.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI