Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Bersatu cegah perbuatan jenayah

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Dengan permulaan tahun 2018 ini, Pasukan Polis Diraja Brunei mempergiatkan program pengawasan kejiranan (PK) bagi kawasan kampung dalam keadaan selamat daripada sebarang kegiatan jenayah. Di Daerah Brunei dan Muara, Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan (BSB) telah membuat rondaan dan pemantauan berjalan kaki di sekitar STKRJ Rimba dan kompleks-kompleks membeli-belah.

Rondaan berkenaan telah melibatkan empat orang ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan dengan diketuai SM 3096 Pengiran Mohd Noorhasni bin Pengiran Haji Omar, dua orang anggota peronda dari Balai Polis Pusat BSB berserta tiga orang ahli PK STKRJ yang diketuai oleh Ketua Kampung STKRJ Rimba iaitu Haji Abdul Wahab bin Timbang. Sebelum rondaan dijalankan, satu taklimat ringkas mengenai statistik jenayah dan juga peranan PK telah disampaikan oleh ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan.

Daerah Polis Tutong pula telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan Kampung Layong.Rondaan berkenaan melibatkan ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan Balai Polis Lamunin dan tiga orang anggota Balai Polis Lamunin yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Lamunin, Inspektor Zulfadli bin Haji Awang Yusof bersama lima orang ahli PK Kampung Layong yang diketuai oleh Ketua Kampung Layong, Haji Yakub bin Haji Bakri.

Rondaan juga dijalankan di Kampung Danau yang diwakili oleh Pengawas Pos Polis Kampung Telisai dan ahli-ahli PK yang diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir. Rondaan menggunakan kenderaan dijalankan di kawasan kampung dan kawasan-kawasan di bawah jagaan Ketua Kampung Layong bagi memastikan kawasan kampung dalam keadaan selamat.

Dengan adanya rondaan pencegahan jenayah yang dibuat oleh PK itu akan dapat meningkatkan lagi kewaspadaan masyarakat dalam sama-sama memastikan keselamatan kawasan kampung mereka dan bebas jenayah. Pasukan Polis Diraja Brunei juga mengambil kesempatan mengalu-alukan para belia dari pelbagai peringkat umur untuk menyertai PK di kampung masing-masing.​

Attachments