MUARA, Khamis 1 April - Seorang lelaki meninggal dunia selepas dirempuh oleh
sebuah kereta yang berlaku di kawasan Kg Perpindahan Mentiri.
Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan insiden
kemalangan tersebut melalui panggilan kecemasan yang diterima pada 1 April
2021 sekitar jam 6.35 petang yang memaklumkan seorang pejalan kaki telah
dilanggar oleh sebuah kereta.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang
lelaki warganegara tempatan berumur 52 tahun dan ditemui dalam keadaan terbaring
di atas jalan raya dengan tidak sedarkan diri. Manakala, pemandu dan penumpang
kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak Paramedik turut hadir ke tempat kejadian dan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa yang meninggal dunia kemudiannya
dibawa ke Hospital RIPAS bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan terperinci.
Siasatan pihak polis masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei turut menyarankan kepada para
pemandu atau pengguna jalan raya agar sentiasa menumpukan perhatian di jalan
raya dan kawasan sekeliling semasa memandu. Manakala juga dinasihati para
pejalan kaki agar supaya lebih peka dan berhati-hati semasa menyeberang jalan
terutama sekali di kawasan-kawasan jalan yang sibuk dan gelap.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI