TEMBURONG, Khamis 1 April - Pemantauan yang berterusan telah mendatangkan
hasil apabila rondaan pencegahan jenayah keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan
Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya mematahkan lagi penyeludupan barang-barang
tegahan di Daerah Temburong.
Rondaan yang dijalankan pada 31 Mac 2021 sekitar jam 5.49 petang di kawasan
penurunan perahu Kg. Negalang itu telah mengenal pasti sebuah kenderaan dalam
keadaan mencurigakan. Peronda bertugas telah dikerah untuk bertindak membuat
penahanan namun kereta tersebut telah memecut melarikan diri menghala ke jalan
Labu dan masuk ke jambatan SHOAS.
Kereta yang mencurigakan telah berjaya ditahan di KM 15.9 tanpa ada sebarang
pemandu. Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mendapati penemuan bungkusan
sejumlah 10 kotak daging mentah dan 300 paket sosej ayam. Kenderaan
kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan dan kes diambil
alih siasatannya ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan
selanjutnya.
PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi
membanteras kegiatan jenayah terutama sekali barang tegahan yang dibawa masuk
ke negara ini secara seludup.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau perkara
menyalahi undang-undang di negara ini agar dapat menyalurkan maklumat menerusi
Talian Kecemasan Polis 993.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI