Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
INDIVIDU DITAHAN BAWA MERCUN

TEMBURONG, Rabu 13 Jan - Sebanyak seratus (100) kotak mercun jenis 3388 dan sepuluh (10) kotak mercun jenis 8888 Happy Boom Firecracker telah dirampas oleh keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Kejadian yang berlaku pada 12 Januari 2021 sekitar jam 8.00 malam itu merupakan hasil daripada pemantauan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh keanggotaan balai di kawasan Kg Bokok, Daerah Temburong. Semasa pemantauan dibuat, sebuah kenderaan pacuan 4 roda didapati telah keluar dari persimpangan Jeti Tambatan, Kg Bokok dalam keadaan yang mencurigakan. Peronda bertugas kemudian dikerah untuk segera membuat penahanan ke atas pemandu dan kenderaan tersebut. 
 
Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemukan sejumlah bungkusan kotak-kotak yang berisi barangan tegahan dipercayai bahan mercun. Pemandu beserta kenderaan dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan lanjut. 
 
Suspek merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 45 tahun dan tidak bekerja. 
 
Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan akan larangan tersebut kerana ianya menjurus kepada kemaslahatan orang awam kerana jika ianya diingkari maka boleh mengundang bahaya kepada bukan sahaja mereka yang bermain tetapi juga kepada orang lain kerana api dihasilkan dari bahan bunga api boleh mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan, kerosakan kepada harta benda dan kebakaran. 
 
Oleh itu, diingatkan dan ditekankan kepada orang ramai sepertimana Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Negara Brunei Darussalam, Penggal 58 iaitu sekatan mengimport mercun, bunga api dan sebagainya menyebutkan sesiapa sahaja tidak boleh mengimport, membuat, menjual atau memiliki apa-apa mercun atau bunga api atau yang mengandungi bahan letupan atau campuran bahan letupan. 
 
Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan. 
 
Manakala bagi hukuman mengikut Peraturan 17 (2), Akta Senjata Api dan Bahan Letupan menyatakan mana-mana orang yang melanggar Peraturan 15, Akta Senjata Api dan Bahan Letupan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan jika sabit akan dikenakan denda $3,000. 
 
Sementara mengikut Seksyen 6, Undang-undang Kesalahan Kecil, Penggal 30 menyatakan mana-mana orang yang menyalakan atau membakar apa-apa bahan api hingga menyebabkan gangguan, kesulitan atau menimbulkan bahaya kepada orang awam, atau melepaskan apa-apa belon api atau roket di mana-mana jalan awam adalah bersalah dan boleh dihukum denda $250. 




Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments