Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
PERTINGKATKAN LANGKAH KESELAMATAN SEMASA MUSIM CUTI PERSEKOLAHAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin 2 Dis - Musim cuti persekolahan di negara ini telah pun bermula, pelbagai aktiviti dan program dirancang oleh setiap ketua keluarga bersama anak-anak untuk memenuhi bulan percutian ini dengan melakukan kegiatan-kegiatan riadah, bersiar-siar, melancong ke luar negeri dan lain-lain lagi. 

Di kesempatan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin memberikan peringatan serta nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati, meningkatkan kepekaan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian di sepanjang cuti persekolahan ini terutama sekali semasa hendak meninggalkan rumah kediaman. 
 
Perlu diperingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa memastikan pagar, pintu dan jendela rumah dalam keadaan tertutup rapi dan berkunci, juga disarankan untuk memasang sistem alat pengera dan juga sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Dalam pada itu, ditekankan untuk tidak meninggalkan barangan berharga seperti barangan kemas, wang ringgit, dokumen-dokumen penting dan sebagainya di rumah yang ditinggalkan kosong. 
 
Mereka yang berhasrat hendak keluar negeri semasa cuti persekolahan ini dinasihatkan supaya memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat atau jiran berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.  
 
Manakala bagi mereka yang hendak meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama, boleh segera memaklumkan kepada balai-balai polis yang berdekatan.  
 
Pada waktu malam disarankan untuk menyalakan cahaya lampu yang mencukupi di kawasan luar rumah dan orang ramai juga diperingatkan tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah atau dalam kenderaan di mana ianya boleh mengundang dan menjadi daya tarikan penjenayah. 
 
Jangan menyimpan alat perkakas berupa tangga, pemutar skru, gergaji dan sebagainya di luar rumah yang mana ianya boleh digunakan oleh penjenayah untuk melakukan jenayah pecah rumah atau jenayah pecah kereta. 
 
Selain itu ibu bapa dan penjaga ditegaskan agar sentiasa memantau aktiviti pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau melepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat. 
 
Orang ramai juga diseru untuk memaklumkan dengan segera kepada pihak polis melalui talian kecemasan 993 atau pihak-pihak berkenaan seperti penghulu, ketua-ketua kampung atau ahli Pengawasan Kejiranan jika berlaku apa-apa juga perkara yang dilihat mencurigakan supaya tindakan seterusnya dapat ditangani oleh pihak berkenaan. 



Dikeluarkan Oleh : 
UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments