Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
GAMBAR TULAR INSIDEN SEORANG BUDAK DIBAWA LARI

BRUNEI MUARA, Selasa 5 Nov – Beberapa maklumat serta gambar telah tular di media sosial pada 2 November 2019 yang lalu mengenai insiden dipercayai seorang budak telah dilarikan oleh seorang suspek lelaki menggunakan sebuah kenderaan jenis Innova bewarna putih. 

Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan maklumat tersebut melalui talian kecemasan 993 yang diterima pada sekitar jam 4.57 petang meminta bantuan pihak polis untuk membuat rondaan di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba kerana sepupu mangsa telah membawa lari anaknya menggunakan kereta mangsa sendiri. 
 
Suspek iaitu sepupu mangsa berjaya ditahan di kawasan Kampung Masin, Limau Manis dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi menjalani siasatan selepas beberapa insiden kejar-mengejar yang dilakukan oleh suspek sehingga melanggar pagar hadapan kawasan Pangkalan Tentera Udara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Rimba. 
 
Budak lelaki berumur 3 tahun itu sedang tidur di dalam kereta mangsa semasa suspek membawa lari kereta berkenaan dan budak lelaki tersebut dalam keadaan selamat semasa ianya ditemui. 
 
Suspek bernama Md Firdaus bin Md Salleh, 21 tahun dan tidak bekerja telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 4 November 2019 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 279 dan 361 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.  
 
Pihak Mahkamah telah mengarahkan tertuduh untuk dirujuk bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAS) sehingga sebutan kes selanjutnya pada 11 November 2019. 
 
Di kesempatan ini, PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa berterusan memberi bantuan dan bekerjasama menyalurkan apa jua maklumat kegiatan jenayah di negara ini kepada pihak Polis sama ada berhubung terus ke balai-balai yang berdekatan atau menghubungi talian kecemasan Polis 993. 



Dikeluarkan Oleh : 
UNIT PERHUBUNGAN AWAM 
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments